HARUN
adalah abang kandung Nabi Musa. Kisahnya dalam al-Quran selalu disebut
bersama dengan kisah adiknya itu. Baginda mendampingi Nabi Musa
menemui Firaun untuk meminta agar Firaun melepaskan Bani Israil daripada
perhambaan. Mereka menyampaikan wahyu daripada Allah kepada raja Mesir
itu dan mengingatkannya serta meluruskan jalan hidupnya yang melampaui
batas (tidak rela melepaskan Bani Israel daripada perhambaan) serta
menyimpang daripada ajaran Allah SWT.
Dengan
lemah lembut, Musa dan Harun menghadapi keangkuhan Firaun yang mengaku
dirinya Tuhan. Akhirnya, Musa dan Harun berjaya membawa keluar Bani
Israil dari Mesir. Ketika sampai di sekitar Gunung Sinai, Nabi Musa
meninggalkan Bani Israel selama 40 hari untuk menemui Tuhan di puncak
Gunung Sinai. Harun ditugaskan menjaga kaumnya. Baginda sempat
mengingatkan mereka agar tidak menyembah berhala lagi.
Ketika
Musa masih berada di Gunung Sinai, Harun mendatanginya. Setelah
mendapatkan tugas dan perintah daripada Allah SWT, kedua-duanya segera
berangkat ke Mesir. Dengan ketabahan dan keteguhan iman, mereka menemui
Firaun di istananya. Dalam pertemuan itu, Nabi Musa menyampaikan wahyu
Allah SWT kepada Firaun dan meminta agar Firaun membebaskan Bani Israel
daripada perhambaan.
Harun
memiliki kemampuan berbahasa lebih fasih daripada adiknya. Oleh hal
demikian itu, Musa memohon kepada Allah SWT agar mengutuskan Harun
mendampinginya menemui Firaun. Permohonan itu bermaksud untuk
membenarkan kata-kata yang disampaikan Musa, kerana baginda khuatir
Firaun tidak mahu menerima kata-katanya. Harun diangkat oleh Allah SWT
menjadi nabi dan rasul untuk membantu tugas kerasulan Nabi Musa a.s.
Ketika
hendak mendatangi Firaun, mereka diperintahkan oleh Allah agar mengaku
sebagai utusan Allah kepada Firaun. Mereka menghadap Firaun dengan
membekalkan bukti-bukti kerasulan mereka daripada Allah. Bani Israel
menyembah patung lembu yang diperbuat daripada emas dan melupakan Tuhan
ketika Musa berada di puncak Gunung Sinai untuk bertemu Tuhan. Harun
tidak berdaya menggalas tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Nabi
Musa.
Ketika
hendak menerima wahyu Allah SWT di Gunung Sinai, Harun diserahkan
untuk memikul amanah oleh Musa untuk memimpin Bani Israel. Selama
ditinggalkan oleh Musa, kaumnya membuat kekacauan. Dalam suasana itu,
muncul Samiri yang mengaku layak menjadi pemimpin Bani Israil. Dia
membuat patung anak lembu emas sebagai sembahan. Melihat kaumnya yang
kufur itu, Harun berusaha mengingatkan akan kesesatan mereka. Baginda
berusaha menghentikan kekufuran kaumnya, namun hati mereka benar-benar
keras.
Setelah
pulang dari Gunung Sinai, Musa marah kepada kaumnya dan menegur
abangnya, Harun. Oleh sebab berasa marah dan sedih, seperti dikisahkan
di dalam al-Quran, Musa melemparkan 'loh-loh' (Taurat) yang baru
diterimanya daripada Allah dan memegang rambut Harun, sambil menariknya
ke arahnya. Sesudah amarahnya reda, barulah diambilnya kembali
'loh-loh' (taurat) itu, kerana di dalam tulisan Taurat itu terdapat
petunjuk dan rahmat untuk orang-orang yang takut kepadanya. Nabi Harun
a.s wafat terlebih dulu daripada Nabi Musa a.s dan dimakamkan oleh Nabi
Musa a.s di Bukit Hur (Jabal Harun) di Semenanjung Sinai.
( sumber :
Utusan Malaysia. 08 Mac 2011. Kuala Lumpur )
Tidak ada komentar:
Posting Komentar